Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Hanapiah Nasir meninggal dunia



HANAPIAH banyak berjaya kepada sukan olahraga negara, dengan meraih empat emas di Sukan Sea. FOTO NSTP
HANAPIAH banyak berjaya kepada sukan olahraga negara, dengan meraih empat emas di Sukan Sea. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Kem olahraga negara mendapat perkhabaran sedih dengan pemergian legenda, Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini Allahyarham pernah menderita kanser darah sebelum disahkan sembuh pada 2019.

Bagaimanapun, penyakit berkenaan kembali menyerang Allahyarham menyebabkan beberapa organnya gagal berfungsi.

Allahyarham, 65, banyak berjaya kepada sukan olahraga negara, dengan meraih empat emas dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan dekatlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan Sea.

Antara pencapaian yang menjadi kenangan ialah pada 1985, apabila Allahyarham memecahkan rekod Sukan Sea dalam acara lompat jauh dengan catatan 7.59m.

Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.

Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih dari 2005 hingga ke 2009.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru malam ini dan dikebumikan esok.

Dalam pada itu, bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin turut memuatnaik hantaran mengenai pemergian Allahyarham di akaun Facebook miliknya.

"Mohon sedekahkan Al-fatihah buat coach Hanafiah Nasir yang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan semasa saya aktif dalam sukan olahraga," kata Adi.

Sementara itu, pemenang pingat emas 110m negara di Sukan Sea Manila 2005, Robani Hassan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Salam takziah buat keluarga coach Hanafiah Nasir yang baharu sahaja meninggal dunia di HKL. Terima kasih coach. Semoga tenang di sana," tulisnya di media sosial, Facebook.

Posting Komentar untuk "Hanapiah Nasir meninggal dunia"